Cikgu, saya dan telefon
Bismillahhirrahmanirrahim.
Tamat pengajian bukan tanda tamatnya menuntut ilmu. Menuntut ilmu itu usaha yang berterusan sampai mati.
Ingatan saya tak cukup baik berbanding orang-orang terdahulu. Mereka kuat menghafal. Dulu masa saya masih menggunakan Sony Ericsson James Bond, hampir setiap kali saya telefon cikgu-cikgu saya (khasnya Cikgu Rosli), saya akan rakam perbualan kami. Kemudian saya akan rewind berkali-kali sehingga ingat supaya tak ada satu pesanan pun yang tercicir.
Teruja dengan setiap butir kata-kata cikgu-cikgu sehingga saya tak mahu satu pun darinya yang tercicir. Cikgu-cikgu saya orang yang hebat belaka. Tutur kata mereka tak ada yang sia-sia. Senda acahnya pun penuh dengan makna dan pengajaran.
Sejak henset lama tu patah dan digantikan dengan iPhone ni cara dah banyak berubah. iPhone tak dapat merakam perbualan telefon. Ia sesuatu yang hilang dari sebuah henset canggih. Pendekatan dah mula berubah, saya paksa diri untuk hafal semua butir perbualan masa nyata. Ada banyak yang tercicir tapi nak buat macam mana lagi, redha sajalah.
Lagipun bila saya bertandang ke rumah cikgu (khasnya Cikgu Rosli), isteri saya tak mahu ikut dan isteri Cikgu akan biarkan kami tanpa gangguan. Memanglah sebab kami bertemu sempat dua waktu solat. Topik cerita mencakup macam-macam. Dari komputer, sains, catur dan sastera. Kami juga sama-sama berkongsi penyakit lelah. Huhuh…



